Abu Usman R.A berkata, "Pada suatu hari Salman R.A dan aku sedang duduk dibawah sepohon kayu. Beliau ambil sebatang ranting kering dari pohon tersebut lalu menggoncang-goncangkannya hingga kesemua daunnya gugur.
Kemudian kata beliau kepadaku, "hai Abu Usman mengapa kamu tidak tanya aku kenapa aku berbuat demikian ini? Sahutku, "Sila khabarkan padaku." kata beliau, "Beginilah Rasulullah S.A.W lakukan di hadapanku semasa ku bersamanya di bawah sepohon kayu. Baginda ambil ranting kering pohon tersebut lalu menggoncangkannya hingga kesemua daunnya gugur seraya Baginda S.A.W bersabda, "Wahai Salman! mengapa kamu tidak tanya kepadaku kenapa aku buat demikian ini?" Sahutku, "Sila khabarkanlah padaku kenapa Baginda buat begini." Sabda Baginda, "Bahawasannya apabila seorang Islam mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian dia laksanakan Solat lima kali sehari, maka dosa-dosanya gugur seperti mana daun-daun ini gugur.".
Lantas Baginda S.A.W membaca ayat Al Quran yang berikut: (bermaksud)
"Dirikanlah solat pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam, sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan perbuatan-perbuatan yang buruk (dosa); itulah peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat."
(Surah Hud: Ayat 114)
Hadith yang tersebut di atas menunjukkan kelakuan Salman R.A seorang sahabat Rasulullah S.A.W. Para sahabat Baginda amat mengasihinya. Mereka sentiasa mengenangi masa yang Baginda berada tepat sebagaimana mereka lihat Baginda melakukannya dimasa yang tertentu itu. Sesungguhnya amatlah sukar hendak dicakup segala sunah Rasulullah S.A.W mengenai pentingnya solat serta hadith-hadith yang menyatakan keampunan bagi mereka yang menjaga solatnya.
Sebagaimana yang telah disebutkan Ahli Tafsir, keampunan ini hanya kepada dosa-dosa kecil sahaja tetapi batasan ini tidaklah terdapat pada isi kandungan hadith ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan